Ahad, 20 Oktober 2013





PENDAHULUAN
Rene Descartes adalah salah seorang tokoh yang terkenal pada zaman moden yang berpegang kepada aliran Rasionalisme. Rasionalisme adalah suatu aliran pemikiran yang muncul dalam era falsafah moden di dunia Barat. Di dalam Ensiklopedia Falsafah dinyatakan bahawa perkataan rasionalisme adalah berasal dari perkataan Latin iaitu “ratio” yang memberi makna “reason” dalam bahasa Inggeris. Rasionalisme adalah istilah yang merujuk kepada beberapa pandangan dan gerakan idea, terutamanya yang merupakan pandangan falsafah yang memberi penekanan kepada kuasa akal untuk mencapai intipati kebenaran dan mengatakan bahawa akal (reason) adalah alat terpenting dalam memperolehi pengetahuan dan menguji pengetahuan. Aliran pemikiran rasionalisme menyatakan bahawa pengetahuan diperolehi dengan cara berfikir dengan menggunakan kaedah-kaedah yang logik. Dan Rasionalisme pula merupakan aliran pemikiran yang bertentangan dengan empirisisme.
Dari segi sejarah, rasionalisme sebenarnya telah muncul sejak lama dahulu iaitu sejak dari zaman Yunani kuno. Thales (625-545 SM) telah dianggap sebagai ahli falsafah yang mula-mula sekali menerapkan rasionalisme dalam falsafahnya. Asas rasionalisme yang telah beliau letakkan di dalam falsafah telah dilanjutkan oleh golongan sofis dan ahli falsafah Yunani klasik seperti Socrates, Plato dan Aristotal dan tokoh-tokoh falsafah sesudah mereka. Dalam zaman falsafah moden, tokoh rasionalisme yang dikira sebagai yang mula-mula mencetuskannya adalah Rene Descartes, dan diikuti oleh Spinoza dan Leibniz. Setelah berlalu zaman mereka bertiga, aliran rasionalisme telah dikembangkan secara sempurna oleh ahli falsafah German iaitu Georg Wilhelm Friedrich Hegel (1770-1831) yang kemudiannya juga terkenal sebagai tokoh rasionalisme dalam sejarah.
Antara tokoh yang tidak asing lagi pada zaman moden yang berpegang kepada aliran rasionalisme yang terkemuka adalah Rene Descartes (1596-1650), kemudian diikuti oleh beberapa orang tokoh lain antaranya Spinoza dan Leibniz. Dalam kertas kerja ini hanya membincangkan pemikiran yang dibawa oleh Rene Descartes. Descartes telah dianggap di dunia Barat sebagai “Bapa Falsafah Moden”. Kerana idea beliau yang telah mencetuskan gelombang menggunakan akal fikiran dalam mencapai pengetahuan dan menolak ajaran gereja-gereja Kristian yang kononnya berpegang kepada wahyu. Gelaran “Bapa Falsafah” diberikan kepada Descartes sesuai dengan kedudukannya sebagai orang yang pertama di zaman Moden yang membangunkan falsafah yang berdiri di atas keyakinan diri sendiri yang dihasilkan oleh pengetahuan akal. Descartes disanjung di dunia Barat kerana keberaniannya melepaskan diri dari kongkongan tradisi dan dogma gereja Kristian yang menyekat perkembangan falsafah pada zaman pertengahan. Descartes adalah orang pertama di akhir abad pertengahan yang telah menyusun perbahasan yang kuat dan jelas yang menyimpulkan bahawa asas falsafah haruslah menggunakan akal fikiran dan bukannya perasaan, keimanan, ayat-ayat suci dan bukan sumber-sumber lainnya. Corak falsafah Descartes adalah sangat berbeza dan bertentangan dengan corak falsafah pada zaman Pertengahan yang di dominasi oleh ajaran-ajaran gereja Kristian. Beliau telah menggunakan kembali aliran rasionalisme seperti yang telah berkembang di zaman Yunani Kuno.

LATAR BELAKANG
Descartes dilahirkan pada 31 Mac 1596 di sebuah bandar kecil bernama La Haye, di Touraine, Perancis. Pada zaman kelahiran Descartes, Shakespear sedang berada pada kemuncak kemasyhurannya. Descartes meninggal dunia pada tahun 1650 akibat batuk dan radang paru-paru. Ayah beliau bernama Joachim merupakan seorang peguam dan ahli majlis Parlimen British. Ibu beliau bernama Jeanne Brochard pula adalah dari keluarga saudagar dan pegawai kerajaan. Ibu Descartes mengidap penyakit semasa melahirkannya dan pada akhirnya meninggal dunia. Selepas kematian ibunya, Descartes dan saudara kandungnya tinggal bersama nenek sebelah ibu. Semasa kecil Descartes tidak pernah mengenali ibu kandungnya. Bapanya pula kerap tinggal di luar Bandar kecil La Haye bagi tempoh masa yang lama. Ketika Descartes berumur 4 tahun, bapanya berkahwin semula dan berpindah dari La Haye. Bapanya mempunyai 4 orang anak dari keluarga barunya itu. Descartes tinggal bersama neneknya dan dijaga oleh seorang jururawat yang diupah oleh keluarganya. Kebanyakan masa Descartes telah dihabiskan bersendirian dan beliau menjadi seorang kanak-kanak yang banyak berfikir. Descartes mempunyai seorang anak bernama Francine, hasil perhubungan dengan kekasihnya bernama Helena Jans, Francine telah dibaptiskan sebagai anak perempuan yang sah kepada Descartes di sebuah Gereja pembaharuan (Reformed Church) di Deventer, walau bagaimanapun Francine meninggal dunia ketika berumur lima tahun


Descartes mempunyai minda yang cerdas, beliau telah minat untuk belajar meskipun belum pergi ke sekolah lagi. Beliau mendapat pendidikan awal di Jesuit College Royal di sebuah kampung bernama La Fleche yang terletak kira-kira 60 batu ke barat laut La Haye. Kolej Jesuit adalah gabungan sekolah menengah dan universiti dan juga kuat berpegang kepada fahaman skolastik. Di kolej ini, Descartes telah diletakkan di bawah pengawasan Rektor Kolej bernama Father Etienne Charlet seorang pendidik yang dihormati dan mempunyai kaitan persaudaraan dengan beliau. Charlet telah memberi pengaruh yang besar kepada kehidupan Descartes dan menjadi bapa kedua kepadanya. Descartes telah menghabiskan waktu selama 8 tahun di kampung La Fleche. Dalam masa yang sama beliau telah mempelajari ilmu tentang bahasa dan kesusasteraan klasik kemudian beliau juga mempelajari ilmu falsafah, kerana minatnya yang cukup besar Descartes kemudiannya mendalami ilmu tentang falsafah, bahkan Descartes mengatakan bahawa “hidup tanpa berfalsafah adalah seperti hidup dengan mata yang tertutup”.
Selepas menghabiskan 8 tahun belajar di La Fleche, Descartes merasakan yang beliau tidak menemui apa yang dicarinya, iaitu kepastian/kebenaran yang pasti yang tidak boleh diragui lagi. Beliau merasakan pendidikan berdasarkan falsafah Aristotle yang diterimanya tidak dapat memberinya sebuah kepastian, keinginannya yang sangat kuat untuk mendapatkan kepastian hanya menyebabkannya bertambah tidak pasti lagi. Beliau kemudiannya meninggalkan Kolej Jesuit dan menyambung pelajaran di University of Poitiers. Beliau kemudiannya memperolehi ijazah dalam bidang undang-undang sivil dan undang-undang kitab suci, meskipun mempunyai ijazah undang-undang, Descartes tidak berminat untuk berkerjaya dalam bidang undang-undang. Descartes telah menyertai beberapa kumpulan tentera dan berpeluang mengembara sambil meneruskan pendidikannya. Meskipun menyertai tentera, Descartes tidak pernah terlibat dengan peperangan sebenar di medan pertempuran. Sebaliknya, dengan menyertai kumpulan tentera, beliau berpeluang menjelajah ceruk rantau Eropah. Beliau juga masih terus mencari ilmu dengan membaca buku-buku dan Pada masa inilah juga bermulanya kehidupan Descartes sebagai seorang gentleman iaitu gelaran bagi golongan bangsawan kaya dan terpelajar di dalam budaya masyarakat di Eropah Barat.


Di sepanjang tahun 1618 hingga 1624, Descartes secara sukarela telah menyertai tentera pelbagai negara di Eropah sama ada negara tersebut menyokong fahaman Katolik ataupun Protestan. Beliau sendiri tidak pasti sentiasa hidup di dalam dunia beliau sendiri mencari kepastian tentang kehidupan yang dilaluinya dan telah mengembara tahun 1620 hingga 1625. Beliau telah menjelajah ke seluruh Eropah Tengah, Scandinavia, dan beliau kemudian terus ke Itali bagi meneruskan pengajiannya. Pada tahun 1622 atau pun 1623 beliau telah pulang ke Ronnes, di Perancis di Ronnes. Descartes juga dikatakan sempat menerokai minatnya yang mendalam di dalam bidang matematik dan bersahabat dengan ilmuan bidang matematik iaitu Isaac Beeckman, pengetua sekolah Latin di Dordrecht dan dikenali sebagai ahli matematik Belanda yang ulung.

KARYA
Di sepanjang hidupnya, Descartes telah menulis buku-buku yang terkenal yang diterbitkan semasa dia hidup mahupun sesudah kematiannya. pada penghujung tahun 1620 an Descartes telah pun menyiapkan tulisannya yang berjudul Rules for the Direction of the Mind. Pada tahun 1633 pula, beliau telah siap menulis buku yang berjudul Le Monde Ou Traite De La Lumiere yang bermaksud The World dalam bahasa Inggeris, Le Monde adalah buku yang diterbitkan pada tahun 1664 selepas kematianya. Pada tahun 1634 ketika di Amsterdam, beliau telah menulis buku berjudul Dioptrics. Pada tahun 1635 pula beliau telah menulis buku berjudul Meteors. Ketiga-tiga buku beliau, iaitu Le Monde, Dioptrics dan Meteors adalah penulisan beliau yang mencerminkan pelunjuran yang menggarisi sains kesejagatan barunya.
Hasil kerja Descartes yang paling penting adalah bukunya yang berjudul Discourse on the Method of Rightly Conducting One’s Reason and Seeking the Truth in the Sciences yang diterbitkan pada tahun 1637 di dalam bahasa Perancis dan bukannya dalam bahasa Latin dikatakan, Descartes sengaja menulisnya dalam bahasa Perancis kerana dia mahu orang ramai membacanya. Jika ditulis dalam bahasa Latin, hanya golongan terpelajar sahaja yang akan membacanya. Descartes merasakan tulisannya akan ditolak oleh golongan terpelajar. Di dalam buku Discourse on the Method, Descartes telah meletakkan matlamat hidupnya, iaitu mengarahkan akalnya (reason) secara yang sistematik untuk mencari kebenaran dan menghapuskan keraguan. Pada tahun 1641 pula, Descartes telah menerbitkan karyanya yang agung yang berjudul Meditations on First Philosophy di dalam bahasa Latin yang merupakan salah sebuah karya yang telah terlibat dengan banyak perdebatan dalam sejarah dunia falsafah. Pada tahun 1644 pula, Descartes menerbitkan pula buku berjudul Principles of Philosophy yang memuatkan cubaannya yang bersungguh-sungguh untuk mengetengahkan metode falsafah yang sistematik yang diambil dari asas-asasnya yang boleh menjelaskan fenomena dunia fizikal. Karya terakhir yang ditulis oleh Descartes dalam hidupnya adalah Passion of the Soul yang ditulis dalam bahasa Perancis.

PEMIKIRAN RENE DESCARTES
Rene Descartes merupakan seorang yang berfahaman humanisme yang mana menolak otoriti agama dan bertujuan mencapai ilmu sains dan falsafah. Bagi beliau akal adalah asas dan panduan bagi mencapai kebenaran yang pasti. Untuk mencapai kebenaran, Descartes menggunakan kaedah-kaedah yang logik bagi membezakan antara benda yang boleh diragukan dengan sesuatu yang tidak dapat diragukan lagi. Dalam pembahasan ini Descartes menggunakan metode untuk mencari kepastian yang sempurna, iaitu dengan meragukan semua perkara terlebih dahulu. Buku yang paling penting yang menjelaskan pandangan falsafah Descartes adalah Discourse on the Method dan Meditations on First Philosophy, Kedua-dua buku ini saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Di dalam kedua-dua buku inilah Descartes telah menjelaskan metode Keraguan Descartes (Cartesian Doubt). Metode Keraguan Descartes juga seringkali ditulis dalam penulisan-penulisan ilmiah sebagai Metode Cogito Descartes ataupun metode Cogito sahaja. Descartes mengetahui bahawa bukan mudah untuk beliau meyakinkan tokoh-tokoh gereja Kristian pada zaman itu bahawa dasar falsafah haruslah akal (reason). Tokoh-tokoh gereja ketika itu sangat kuat berpegang dengan keyakinan bahawa dasar falsafah haruslah iman. Bagi meyakinkan orang ramai bahawa dasar falsafah seharusnya akal (reason) beliau pun menyusun suatu argument (hujahan) yang amat terkenal dalam dunia falsafah, hujahan beliau itu dijelaskan dengan panjang lebar di dalam Metode Cogito tersebut. Bagi memperoleh asas yang kuat bagi falsafahnya, Descartes terlebih dahulu meragukan segala sesuatu yang dapat diragukannya. Pada tahap pertama beliau mencuba meragukan semua perkara yang dapat dialami oleh pancaindera, iaitu objek-objek yang sebenarnya tidak mungkin diragukan. Inilah langkah pertama Metode Cogito tersebut.

Descartes meragukan adanya badannya sendiri. Keraguan itu menjadi mungkin kerana pada pengalaman mimpi, halusinasi, ilusi dan juga pada pengalaman dengan roh halus, ada yang sebenarnya itu tidak jelas. Pada keempat-empat keadaan itu, seseorang individu dapat mengalami sesuatu seolah-olah dalam keadaan yang sebenar-benarnya. dalam mimpi, seseorang individu seolah-olah mengalami sesuatu yang benar-benar terjadi, seolah-olah dia seperti tidak bermimpi (berada dalam keadaan berjaga). Demikian juga keadaannya dengan pengalaman halusinasi, ilusi dan kenyataan ghaib. Tidak ada batasan yang jelas di antara mimpi dan jaga (sedar). Oleh kerana itu Descartes berkata; “Aku dapat meragukan bahawa aku duduk di sini dalam pakaian siap untuk pergi ke luar? ya, aku dapat meragukan itu kerana kadang-kadang aku bermimpi seperti dalam keadaan itu, sedangkan aku ada di tempat tidur, sedang bermimpi”. Oleh itu menurut Descartes tidak ada perbezaan dan batasan yang jelas di antara mimpi (sedang bermimpi) dan jaga. Ketika bermimpi, rasa-rasanya seperti bukan bermimpi, siapakah yang dapat menjamin kejadian-kejadian waktu jaga (yang dikatakan sebagai jaga ini) sebagaimana yang dialami adalah kejadian-kejadian yang sebenar-benarnya berlaku dan bukannya suatu mimpi?, Perkara-perkara di dalam halusinasi dan ilusi juga membawa Descartes kepada pertanyaan “yang mana satu yang benar-benar ada dan yang asli?” Perkara-perkara dalam mimpi, halusinasi, ilusi dan pengalaman dengan alam ghaib itu bila dilihat dalam keadaan Descartes berjaga adalah perkara-perkara yang tidak ada. Akan tetapi perkara-perkara tersebut benar-benar ada bila dilihat dalam mimpi. Di dalam mimpi Descartes melihat dan mengalami perkara-perkara tersebut dengan sebenar-benarnya. Jadi, apakah yang sebenarnya membezakan dengan jelas di antara mimpi dan jaga? Beginilah jalan dan cara berfikir dalam Metode Cogito yang digariskan oleh Descartes itu.
Pada langkah pertama ini, Descartes berjaya meragukan semua perkara yang dapat di alami oleh pancainderanya. Jadi apakah yang sekarang ini dapat beliau percaya dan ianya benar-benar ada?, Descartes seterusnya menyatakan bahawa di dalam keempat-empat keadaan yang dialaminya itu (mimpi, halusinasi, ilusi dan pengalaman dengan alam ghaib) dan juga di dalam keadaan berjaga, ada “sesuatu” yang selalu muncul. Dengan kata lain, ada “sesuatu” yang selalu muncul baik ketika Descartes dalam keadaan berjaga ataupun dalam keempat-empat keadaan yang dinyatakan tadi. “Sesuatu” yang dimaksudkan itu yang selalu muncul adalah gerak, jumlah dan volume. Pada tahap kedua ini, Descartes berpendapat bahawa “sesuatu” (gerak, jumlah dan volume) itulah yang lebih ada (lebih wujud) daripada perkara-perkara yang dialami pancaindera dalam jaga mahupun dalam mimpi, halusinasi, ilusi dan pengalaman dengan alam ghaib. Bagi Descartes, kewujudan ketiga-tiga “sesuatu” itu lebih meyakinkan. Mungkin ketiga-tiga “sesuatu” itulah yang sebenar-benarnya ada.43Persoalannya, betulkah ketiga-tiga “sesuatu” (gerak, jumlah dan volume) benar-benar wujud? Descartes pun menguji pendapatnya. Kemudiannya, Descartes meragukannya pula. Mula-mula, Descartes berpendapat “sesuatu” yang tiga macam itu (gerak, jumlah dan volume) adalah Matematik. Tetapi kemudian beliau mendapati Matematik juga boleh silap. Menurut Descartes, beliau sering salah dalam mengira jumlah (angka), salah dalam mengukur (volume) dan salah dalam menentukan gerak. Oleh itu, ilmu pasti (Matematik) pun masih dapat Descartes ragukan. Ilmu pasti adalah lebih pasti dari perkara-perkara, tetapi Descartes masih dapat meragukannya. Dengan itu, perkara-perkara (dalam langkah pertama) dan ilmu pasti (dalam langkah kedua ini) masih lagi diragukan. Jika begitu keadaannya, maka apakah yang pasti itu? Apakah yang pasti wujud yang dapat menjadi asas falsafah Descartes? Descartes inginkan sesuatu yang pasti, tetapi tidak ditemuinya dalam langkah keduanya itu. Pada peringkat ketiga, Descartes merasakan masih ada suatu perkara yang tidak dapat beliau ragukan. Bahkan menurut beliau, tidak ada seekor syaitan walau bagaimana licik sekalipun syaitan itu, yang dapat mengganggu keraguannya.
Oleh kerana tidak ada seorang skeptis pun yang dapat mengganggu keraguannya, Descartes mengatakan beliau tidak dapat meragukan yang beliau sedang merasa ragu. Begitu jelas sekali bagi Descartes, yang beliau sedang mengalami keraguan dan beliau tidak mampu untuk meragukan keadaannya yang sedang ragu itu. Beliau begitu pasti (distinct) yang beliau sedang ragu. Descartes menyatakan, beliau boleh meragukan kewujudan badannya, ataupun meragukan seperti badannya wujud dalam mimpi. Tetapi mengenai keadaan beliau yang sedang ragu “aku sedang ragu”, beliau benar-benar tidak dapat meraguinya. Oleh sebab Descartes tidak dapat meragukan dirinya yang sedang ragu, beliau berpendapat ketidakupayaannya untuk meragukan dirinya yang sedang berfikir adalah disebabkan oleh “aku berfikir”. Kalau begitu, “aku berfikir” pasti ada dan benar. Jika “aku berfikir” itu ada, ia bererti “aku” ini ada, sebab yang berfikir itu adalah diri aku. Lalu beliau membuat kesimpulan melalui kata-katanya yang masyhur; “Cogito ergo sum” yang bermaksud “Aku berfikir, jadi aku ada”. Dengan itu lengkaplah lima tahap dalam Metode Cogito Descartes, yang bermula dengan keraguan yang kemudiannya bergerak menuju kepastian.


Menurut Descartes pemikiran (akal) itulah yang sesuai dijadikan sebagai dasar berfalsafah kerana aku yang berfikir itulah yang benar-benar ada tidak dapat diragukan lagi. Disebabkan pemikiran inilah yang kemudiannya yang mendorong berkembangnya falsafah moden. Metode Descartes adalah bergerak dari keraguan menuju keyakinan yang begitu jelas dan pasti dan menghasilkan keyakinan yang sempurna seperti yang dicari-cari oleh tokoh moden ini, inilah titik awal kemenangan akal atas iman pada zaman moden.
Descartes adalah orang pertama di akhir abad pertengahan yang telah menyusun perbahasan yang kuat dan jelas (distinct) yang menyimpulkan bahawa asas falsafah haruslah akal fikiran dan bukannya perasaan, keimanan, ayat-ayat suci dan bukan sumber-sumber lainnya. Corak falsafah Descartes adalah sangat berbeza dan bertentangan dengan corak falsafah pada zaman Pertengahan yang di dominasi oleh ajaran-ajaran gereja Kristian. Beliau telah menggunakan kembali aliran rasionalisme seperti yang telah berkembang di Zaman Yunani kuno dahulu.




ASAS METODE COGITO DESCARTES
Metode Cogito Descartes pada dasarnya memerlukan kepada empat langkah yang berurutan, iaitu:
  1. Descartes mesti membersihkan mindanya dari kepercayaan-kepercayaan yang salah dengan meragukan semua perkara.
  2. Tahap kedua Descartes akan mula membina semula suatu titik permulaan yang keseluruhannya boleh dipercayai (tidak diragukan) ataupun apa yang dinamakan sebagai paksi sebagai suatu kaedah Geometri.
  3. Daripada titik-titik permulaan yang baru ini, Descartes akan mengeluarkan implikasi-implikasinya dengan menggunakan kaedah logik deduktif ,sama seperti dalam kaedah Matematik.
  4. Akhir sekali, Descartes akan mengaplikasikan kesimpulan-kesimpulan yang diperolehi kepada bidang-bidang pengetahuan yang lain dan dalam gambaran yang lebih besar, untuk mencipta falsafah yang baru dan selamat iaitu “Universal Knowledge.

Daripada penjelasan yang huraian yang telah dikemukakan, jelas sekali bahawa Descartes telah memulakan falsafahnya dari metode keraguan. Akan tetapi metode keraguan yang digunakannya bukanlah merupakan tujuan falsafahnya. Tujuan metode tersebut bukanlah untuk mempertahankan keraguan, sebaliknya, metode tersebut bergerak dari keraguan menuju kepastian. Keraguan Descartes hanya ditujukan untuk menjelaskan perbezaan antara perkara atau benda yang dapat diragukan dari perkara atau benda yang tidak dapat diragukan. Beliau sendiri tidak pernah meragukan bahawa beliau mampu mendapatkan keyakinan yang berada di sebalik keraguan dan menggunakannya untuk membuktikan suatu kepastian di sebalik sesuatu. Keyakinan beliau itu begitu jelas dan pasti (clear and distinct), dan menghasilkan keyakinan yang sempurna. Spinoza merujuk kepada idea ini dan menamakannya sebagai “adequate ideas”,manakala Leibniz merujuk kepada idea ini dan menamakannya “truths of reason”.


KESIMPULAN
Rasionalisme adalah suatu aliran dalam Falsafah Moden Barat yang lahir akibat keinginan ahli falsafah dan para pemikir untuk membebaskan diri dari kongkongan pemikiran tradisional falsafah ketika itu yang meletakkan iman sebagai asas kepada ilmu pengetahuan. Rasionalisme muncul ketika zaman Renaissance (kelahiran semula) yang membawa gelombang-gelombang perubahan dalam aspek kebudayaan dan pemikiran di Eropah yang bermula di Itali pada abad ke 14 dan kemudiannya merebak ke Perancis, Sepanyol, Jerman, Belanda, England dan ke negara-negara Eropah lainnya.
Rasionalisme muncul di zaman perkembangan peradaban yang berlaku di hujung atau selepas Zaman Pertengahan sehingga munculnya Zaman Moden. Meskipun idea tentang penggunaan akal untuk mencapai ilmu pengetahuan telah muncul sejak lama dahulu iaitu sejak dari zaman Yunani kuno yang dipelopori oleh Thales dan kemudiannya dilanjutkan oleh golongan sofis dan ahli falsafah Yunani klasik seperti Socrates, Plato dan Aristotle dan tokoh-tokoh falsafah sesudah mereka, tetapi idea ini tidak sampai kepada masyarakat Eropah sehinggalah ianya dicetuskan semula oleh Descartes di akhir atau selepas Zaman Pertengahan dan pada permulaan Zaman Moden. Sebab itulah para ahli falsafah di Barat begitu disanjung jasa Descartes dan menganggap beliau sebagai “Bapa Falsafah Moden”. Jasa Descartes ini memang sangat besar kepada masyarakat Barat kerana idea beliau itu telah menimbulkan banyak perubahan dalam masyarakat ketika itu yang banyak dibayangi oleh kuasa dan dogma karut gereja Kristian Katolik.
Idea Descartes yang mengagungkan akal lebih daripada yang lain adalah suatu titik permulaan kemenangan akal fikiran ke atas iman (faith) di zaman moden. Selepas idea beliau muncul, muncul pula tokoh-tokoh pemikir dan ahli falsafah lain yang menyokong, memperkukuh, memperelok dan memperkemaskan lagi ideanya yang berasaskan penggunaan akal fikiran yang sepenuhnya sebagai sumber pengetahuan. Akibatnya, satu demi satu dogma-dogma gereja Kristian ditolak oleh masyarakat Barat. Pengaruh gereja Kristian secara beransur-ansur telah hilang penguasaannya terhadap masyarakat sepertimana yang kita boleh lihat fenomena itu pada masa ini di Eropah dan Amerika Syarikat. Perbincangan tentang Descartes adalah suatu perbincangan yang menarik untuk diketengahkan sebagai salah satu perbincangan dalam perkara berkaitan subjek pengantar falsafah. Dengan memahami siapa Descartes dan juga metode cogito yang terkenal itu, kita dapat mengetahui bagaimanakah permulaannya bagi falsafah moden Barat pada hari ini.

2 ulasan:

  1. sakit mata saya nak membacanya ya Allah. warna warni sangat T_T

    BalasPadam
  2. bagi kredit kpd penulis asal. saya dh pernah baca penulisan ni

    BalasPadam