
PENDAHULUAN
Rene
Descartes adalah salah seorang tokoh yang terkenal pada zaman moden
yang berpegang kepada aliran Rasionalisme. Rasionalisme adalah suatu
aliran pemikiran yang muncul dalam era falsafah moden di dunia Barat.
Di dalam Ensiklopedia Falsafah dinyatakan bahawa perkataan
rasionalisme adalah berasal dari perkataan Latin iaitu “ratio”
yang memberi makna “reason”
dalam bahasa Inggeris. Rasionalisme adalah istilah yang merujuk
kepada beberapa pandangan dan gerakan idea, terutamanya yang
merupakan pandangan falsafah yang memberi penekanan kepada kuasa akal
untuk mencapai intipati kebenaran dan mengatakan bahawa akal (reason)
adalah alat terpenting dalam memperolehi pengetahuan dan menguji
pengetahuan. Aliran pemikiran rasionalisme menyatakan bahawa
pengetahuan diperolehi dengan cara berfikir dengan menggunakan
kaedah-kaedah yang logik. Dan Rasionalisme pula merupakan aliran
pemikiran yang bertentangan dengan empirisisme.
Dari
segi sejarah, rasionalisme sebenarnya telah muncul sejak lama dahulu
iaitu sejak dari zaman Yunani kuno. Thales (625-545 SM) telah
dianggap sebagai ahli falsafah yang mula-mula sekali menerapkan
rasionalisme dalam falsafahnya. Asas rasionalisme yang telah beliau
letakkan di dalam falsafah telah dilanjutkan oleh golongan sofis dan
ahli falsafah Yunani klasik seperti Socrates, Plato dan Aristotal dan
tokoh-tokoh falsafah sesudah mereka. Dalam zaman falsafah moden,
tokoh rasionalisme yang dikira sebagai yang mula-mula mencetuskannya
adalah Rene Descartes, dan diikuti oleh Spinoza dan Leibniz. Setelah
berlalu zaman mereka bertiga, aliran rasionalisme telah dikembangkan
secara sempurna oleh ahli falsafah German iaitu Georg Wilhelm
Friedrich Hegel (1770-1831) yang kemudiannya juga terkenal sebagai
tokoh rasionalisme dalam sejarah.
Antara
tokoh yang tidak asing lagi pada zaman moden yang berpegang kepada
aliran rasionalisme yang terkemuka adalah Rene Descartes (1596-1650),
kemudian diikuti oleh beberapa orang tokoh lain antaranya Spinoza dan
Leibniz. Dalam kertas kerja ini hanya membincangkan pemikiran yang
dibawa oleh Rene Descartes. Descartes telah dianggap di dunia Barat
sebagai “Bapa
Falsafah Moden”.
Kerana idea beliau yang telah mencetuskan gelombang menggunakan akal
fikiran dalam mencapai pengetahuan dan menolak ajaran gereja-gereja
Kristian yang kononnya berpegang kepada wahyu. Gelaran “Bapa
Falsafah”
diberikan kepada Descartes sesuai dengan kedudukannya sebagai orang
yang pertama di zaman Moden yang membangunkan falsafah yang berdiri
di atas keyakinan diri sendiri yang dihasilkan oleh pengetahuan akal.
Descartes disanjung di dunia Barat kerana keberaniannya melepaskan
diri dari kongkongan tradisi dan dogma gereja Kristian yang menyekat
perkembangan falsafah pada zaman pertengahan. Descartes adalah orang
pertama di akhir abad pertengahan yang telah menyusun perbahasan yang
kuat dan jelas yang menyimpulkan bahawa asas falsafah haruslah
menggunakan akal fikiran dan bukannya perasaan, keimanan, ayat-ayat
suci dan bukan sumber-sumber lainnya. Corak falsafah Descartes adalah
sangat berbeza dan bertentangan dengan corak falsafah pada zaman
Pertengahan yang di dominasi oleh ajaran-ajaran gereja Kristian.
Beliau telah menggunakan kembali aliran rasionalisme seperti yang
telah berkembang di zaman Yunani Kuno.
LATAR
BELAKANG
Descartes
dilahirkan pada 31 Mac 1596 di sebuah bandar kecil bernama La Haye,
di Touraine, Perancis. Pada zaman kelahiran Descartes, Shakespear
sedang berada pada kemuncak kemasyhurannya. Descartes meninggal dunia
pada tahun 1650 akibat batuk dan radang paru-paru. Ayah beliau
bernama Joachim merupakan seorang peguam dan ahli majlis Parlimen
British. Ibu beliau bernama Jeanne Brochard pula adalah dari keluarga
saudagar dan pegawai kerajaan. Ibu Descartes mengidap penyakit semasa
melahirkannya dan pada akhirnya meninggal dunia. Selepas kematian
ibunya, Descartes dan saudara kandungnya tinggal bersama nenek
sebelah ibu. Semasa kecil Descartes tidak pernah mengenali ibu
kandungnya. Bapanya pula kerap tinggal di luar Bandar kecil La Haye
bagi tempoh masa yang lama. Ketika Descartes berumur 4 tahun, bapanya
berkahwin semula dan berpindah dari La Haye. Bapanya mempunyai 4
orang anak dari keluarga barunya itu. Descartes tinggal bersama
neneknya dan dijaga oleh seorang jururawat yang diupah oleh
keluarganya. Kebanyakan masa Descartes telah dihabiskan bersendirian
dan beliau menjadi seorang kanak-kanak yang banyak berfikir.
Descartes mempunyai seorang anak bernama Francine, hasil perhubungan
dengan kekasihnya bernama Helena Jans, Francine telah dibaptiskan
sebagai anak perempuan yang sah kepada Descartes di sebuah Gereja
pembaharuan (Reformed Church) di Deventer, walau bagaimanapun
Francine meninggal dunia ketika berumur lima tahun
Descartes
mempunyai minda yang cerdas, beliau telah minat untuk belajar
meskipun belum pergi ke sekolah lagi. Beliau mendapat pendidikan awal
di Jesuit College Royal di sebuah kampung bernama La Fleche yang
terletak kira-kira 60 batu ke barat laut La Haye. Kolej Jesuit adalah
gabungan sekolah menengah dan universiti dan juga kuat berpegang
kepada fahaman skolastik. Di kolej ini, Descartes telah diletakkan di
bawah pengawasan Rektor Kolej bernama Father Etienne Charlet seorang
pendidik yang dihormati dan mempunyai kaitan persaudaraan dengan
beliau. Charlet telah memberi pengaruh yang besar kepada kehidupan
Descartes dan menjadi bapa kedua kepadanya. Descartes telah
menghabiskan waktu selama 8 tahun di kampung La Fleche. Dalam masa
yang sama beliau telah mempelajari ilmu tentang bahasa dan
kesusasteraan klasik kemudian beliau juga mempelajari ilmu falsafah,
kerana minatnya yang cukup besar Descartes kemudiannya mendalami ilmu
tentang falsafah, bahkan Descartes mengatakan bahawa “hidup
tanpa berfalsafah adalah seperti hidup dengan mata yang tertutup”.
Selepas
menghabiskan 8 tahun belajar di La Fleche, Descartes merasakan yang
beliau tidak menemui apa yang dicarinya, iaitu kepastian/kebenaran
yang pasti yang tidak boleh diragui lagi. Beliau merasakan pendidikan
berdasarkan falsafah Aristotle yang diterimanya tidak dapat
memberinya sebuah kepastian, keinginannya yang sangat kuat untuk
mendapatkan kepastian hanya menyebabkannya bertambah tidak pasti
lagi. Beliau kemudiannya meninggalkan Kolej Jesuit dan menyambung
pelajaran di University of Poitiers. Beliau kemudiannya memperolehi
ijazah dalam bidang undang-undang sivil dan undang-undang kitab suci,
meskipun mempunyai ijazah undang-undang, Descartes tidak berminat
untuk berkerjaya dalam bidang undang-undang. Descartes telah
menyertai beberapa kumpulan tentera dan berpeluang mengembara sambil
meneruskan pendidikannya. Meskipun menyertai tentera, Descartes tidak
pernah terlibat dengan peperangan sebenar di medan pertempuran.
Sebaliknya, dengan menyertai kumpulan tentera, beliau berpeluang
menjelajah ceruk rantau Eropah. Beliau juga masih terus mencari ilmu
dengan membaca buku-buku dan Pada masa inilah juga bermulanya
kehidupan Descartes sebagai seorang gentleman iaitu gelaran bagi
golongan bangsawan kaya dan terpelajar di dalam budaya masyarakat di
Eropah Barat.
Di
sepanjang tahun 1618 hingga 1624, Descartes secara sukarela telah
menyertai tentera pelbagai negara di Eropah sama ada negara tersebut
menyokong fahaman Katolik ataupun Protestan. Beliau sendiri tidak
pasti sentiasa hidup di dalam dunia beliau sendiri mencari kepastian
tentang kehidupan yang dilaluinya dan telah mengembara tahun 1620
hingga 1625. Beliau telah menjelajah ke seluruh Eropah Tengah,
Scandinavia, dan beliau kemudian terus ke Itali bagi meneruskan
pengajiannya. Pada tahun 1622 atau pun 1623 beliau telah pulang ke
Ronnes, di Perancis di Ronnes. Descartes juga dikatakan sempat
menerokai minatnya yang mendalam di dalam bidang matematik dan
bersahabat dengan ilmuan bidang matematik iaitu Isaac Beeckman,
pengetua sekolah Latin di Dordrecht dan dikenali sebagai ahli
matematik Belanda yang ulung.
KARYA
Di
sepanjang hidupnya, Descartes telah menulis buku-buku yang terkenal
yang diterbitkan semasa dia hidup mahupun sesudah kematiannya. pada
penghujung tahun 1620 an Descartes telah pun menyiapkan tulisannya
yang berjudul Rules
for the Direction of the Mind.
Pada tahun 1633 pula, beliau telah siap menulis buku yang berjudul Le
Monde Ou Traite De La Lumiere
yang bermaksud The
World dalam bahasa
Inggeris, Le Monde
adalah buku yang diterbitkan pada tahun 1664 selepas kematianya. Pada
tahun 1634 ketika di Amsterdam, beliau telah menulis buku berjudul
Dioptrics.
Pada tahun 1635 pula beliau telah menulis buku berjudul Meteors.
Ketiga-tiga buku beliau, iaitu Le Monde, Dioptrics dan Meteors adalah
penulisan beliau yang mencerminkan pelunjuran yang menggarisi sains
kesejagatan barunya.
Hasil
kerja Descartes yang paling penting adalah bukunya yang berjudul
Discourse on the
Method of Rightly Conducting One’s Reason and Seeking the Truth in
the Sciences yang
diterbitkan pada tahun 1637 di dalam bahasa Perancis dan bukannya
dalam bahasa Latin dikatakan, Descartes sengaja menulisnya dalam
bahasa Perancis kerana dia mahu orang ramai membacanya. Jika ditulis
dalam bahasa Latin, hanya golongan terpelajar sahaja yang akan
membacanya. Descartes merasakan tulisannya akan ditolak oleh golongan
terpelajar. Di dalam buku Discourse
on the Method,
Descartes telah meletakkan matlamat hidupnya, iaitu mengarahkan
akalnya (reason) secara yang sistematik untuk mencari kebenaran dan
menghapuskan keraguan. Pada tahun 1641 pula, Descartes telah
menerbitkan karyanya yang agung yang berjudul Meditations
on First Philosophy
di dalam bahasa Latin yang merupakan salah sebuah karya yang telah
terlibat dengan banyak perdebatan dalam sejarah dunia falsafah. Pada
tahun 1644 pula, Descartes menerbitkan pula buku berjudul Principles
of Philosophy yang
memuatkan cubaannya yang bersungguh-sungguh untuk mengetengahkan
metode falsafah yang sistematik yang diambil dari asas-asasnya yang
boleh menjelaskan fenomena dunia fizikal. Karya terakhir yang ditulis
oleh Descartes dalam hidupnya adalah Passion
of the Soul yang
ditulis dalam bahasa Perancis.
PEMIKIRAN
RENE DESCARTES
Rene
Descartes merupakan seorang yang berfahaman humanisme yang mana
menolak otoriti agama dan bertujuan mencapai ilmu sains dan falsafah.
Bagi beliau akal adalah asas dan panduan bagi mencapai kebenaran yang
pasti. Untuk mencapai kebenaran,
Descartes menggunakan kaedah-kaedah yang logik bagi membezakan antara
benda yang boleh diragukan dengan sesuatu yang tidak dapat diragukan
lagi. Dalam pembahasan ini Descartes menggunakan metode untuk mencari
kepastian yang sempurna, iaitu dengan meragukan semua perkara
terlebih dahulu. Buku yang paling penting yang menjelaskan pandangan
falsafah Descartes adalah Discourse
on the Method dan
Meditations on First
Philosophy,
Kedua-dua buku ini saling lengkap melengkapi di antara satu sama
lain. Di dalam kedua-dua buku inilah Descartes telah menjelaskan
metode Keraguan Descartes (Cartesian Doubt). Metode Keraguan
Descartes juga seringkali ditulis dalam penulisan-penulisan ilmiah
sebagai Metode Cogito Descartes ataupun metode Cogito sahaja.
Descartes mengetahui bahawa bukan mudah untuk beliau meyakinkan
tokoh-tokoh gereja Kristian pada zaman itu bahawa dasar falsafah
haruslah akal (reason). Tokoh-tokoh gereja ketika itu sangat kuat
berpegang dengan keyakinan bahawa dasar falsafah haruslah iman. Bagi
meyakinkan orang ramai bahawa dasar falsafah seharusnya akal (reason)
beliau pun menyusun suatu argument (hujahan) yang amat terkenal dalam
dunia falsafah, hujahan beliau itu dijelaskan dengan panjang lebar di
dalam Metode Cogito tersebut. Bagi memperoleh asas yang kuat bagi
falsafahnya, Descartes terlebih dahulu meragukan segala sesuatu yang
dapat diragukannya. Pada tahap pertama beliau mencuba meragukan semua
perkara yang dapat dialami oleh pancaindera, iaitu objek-objek yang
sebenarnya tidak mungkin diragukan. Inilah langkah pertama Metode
Cogito tersebut.
Descartes
meragukan adanya badannya sendiri. Keraguan itu menjadi mungkin
kerana pada pengalaman mimpi, halusinasi, ilusi dan juga pada
pengalaman dengan roh halus, ada yang sebenarnya itu tidak jelas.
Pada keempat-empat keadaan itu, seseorang individu dapat mengalami
sesuatu seolah-olah dalam keadaan yang sebenar-benarnya. dalam mimpi,
seseorang individu seolah-olah mengalami sesuatu yang benar-benar
terjadi, seolah-olah dia seperti tidak bermimpi (berada dalam keadaan
berjaga). Demikian juga keadaannya dengan pengalaman halusinasi,
ilusi dan kenyataan ghaib. Tidak ada batasan yang jelas di antara
mimpi dan jaga (sedar). Oleh kerana itu Descartes berkata; “Aku
dapat meragukan bahawa aku duduk di sini dalam pakaian siap untuk
pergi ke luar? ya, aku dapat meragukan itu kerana kadang-kadang aku
bermimpi seperti dalam keadaan itu, sedangkan aku ada di tempat
tidur, sedang bermimpi”. Oleh itu menurut Descartes tidak ada
perbezaan dan batasan yang jelas di antara mimpi (sedang bermimpi)
dan jaga. Ketika bermimpi, rasa-rasanya seperti bukan bermimpi,
siapakah yang dapat menjamin kejadian-kejadian waktu jaga (yang
dikatakan sebagai jaga ini) sebagaimana yang dialami adalah
kejadian-kejadian yang sebenar-benarnya berlaku dan bukannya suatu
mimpi?, Perkara-perkara di dalam halusinasi dan ilusi juga membawa
Descartes kepada pertanyaan “yang mana satu yang benar-benar ada
dan yang asli?” Perkara-perkara dalam mimpi, halusinasi, ilusi dan
pengalaman dengan alam ghaib itu bila dilihat dalam keadaan Descartes
berjaga adalah perkara-perkara yang tidak ada. Akan tetapi
perkara-perkara tersebut benar-benar ada bila dilihat dalam mimpi. Di
dalam mimpi Descartes melihat dan mengalami perkara-perkara tersebut
dengan sebenar-benarnya. Jadi, apakah yang sebenarnya membezakan
dengan jelas di antara mimpi dan jaga? Beginilah jalan dan cara
berfikir dalam Metode Cogito yang digariskan oleh Descartes itu.
Pada
langkah pertama ini, Descartes berjaya meragukan semua perkara yang
dapat di alami oleh pancainderanya. Jadi apakah yang sekarang ini
dapat beliau percaya dan ianya benar-benar ada?, Descartes seterusnya
menyatakan bahawa di dalam keempat-empat keadaan yang dialaminya itu
(mimpi, halusinasi, ilusi dan pengalaman dengan alam ghaib) dan juga
di dalam keadaan berjaga, ada “sesuatu” yang selalu muncul.
Dengan kata lain, ada “sesuatu” yang selalu muncul baik ketika
Descartes dalam keadaan berjaga ataupun dalam keempat-empat keadaan
yang dinyatakan tadi. “Sesuatu” yang dimaksudkan itu yang selalu
muncul adalah gerak, jumlah dan volume. Pada tahap kedua ini,
Descartes berpendapat bahawa “sesuatu” (gerak, jumlah dan volume)
itulah yang lebih ada (lebih wujud) daripada perkara-perkara yang
dialami pancaindera dalam jaga mahupun dalam mimpi, halusinasi, ilusi
dan pengalaman dengan alam ghaib. Bagi Descartes, kewujudan
ketiga-tiga “sesuatu” itu lebih meyakinkan. Mungkin ketiga-tiga
“sesuatu” itulah yang sebenar-benarnya ada.43Persoalannya,
betulkah ketiga-tiga “sesuatu” (gerak, jumlah dan volume)
benar-benar wujud? Descartes pun menguji pendapatnya. Kemudiannya,
Descartes meragukannya pula. Mula-mula, Descartes berpendapat
“sesuatu” yang tiga macam itu (gerak, jumlah dan volume) adalah
Matematik. Tetapi kemudian beliau mendapati Matematik juga boleh
silap. Menurut Descartes, beliau sering salah dalam mengira jumlah
(angka), salah dalam mengukur (volume) dan salah dalam menentukan
gerak. Oleh itu, ilmu pasti (Matematik) pun masih dapat Descartes
ragukan. Ilmu pasti adalah lebih pasti dari perkara-perkara, tetapi
Descartes masih dapat meragukannya. Dengan itu, perkara-perkara
(dalam langkah pertama) dan ilmu pasti (dalam langkah kedua ini)
masih lagi diragukan. Jika begitu keadaannya, maka apakah yang pasti
itu? Apakah yang pasti wujud yang dapat menjadi asas falsafah
Descartes? Descartes inginkan sesuatu yang pasti, tetapi tidak
ditemuinya dalam langkah keduanya itu. Pada peringkat ketiga,
Descartes merasakan masih ada suatu perkara yang tidak dapat beliau
ragukan. Bahkan menurut beliau, tidak ada seekor syaitan walau
bagaimana licik sekalipun syaitan itu, yang dapat mengganggu
keraguannya.
Oleh
kerana tidak ada seorang skeptis pun yang dapat mengganggu
keraguannya, Descartes mengatakan beliau tidak dapat meragukan yang
beliau sedang merasa ragu. Begitu jelas sekali bagi Descartes, yang
beliau sedang mengalami keraguan dan beliau tidak mampu untuk
meragukan keadaannya yang sedang ragu itu. Beliau begitu pasti
(distinct) yang beliau sedang ragu. Descartes menyatakan, beliau
boleh meragukan kewujudan badannya, ataupun meragukan seperti
badannya wujud dalam mimpi. Tetapi mengenai keadaan beliau yang
sedang ragu “aku
sedang ragu”,
beliau benar-benar tidak dapat meraguinya. Oleh sebab Descartes tidak
dapat meragukan dirinya yang sedang ragu, beliau berpendapat
ketidakupayaannya untuk meragukan dirinya yang sedang berfikir adalah
disebabkan oleh “aku
berfikir”. Kalau
begitu, “aku
berfikir” pasti
ada dan benar. Jika “aku
berfikir” itu
ada, ia bererti “aku”
ini ada, sebab yang berfikir itu adalah diri aku. Lalu beliau membuat
kesimpulan melalui kata-katanya yang masyhur; “Cogito
ergo sum” yang
bermaksud “Aku
berfikir, jadi aku ada”.
Dengan itu lengkaplah lima tahap dalam Metode Cogito Descartes, yang
bermula dengan keraguan yang kemudiannya bergerak menuju kepastian.
Menurut
Descartes pemikiran (akal) itulah yang sesuai dijadikan sebagai dasar
berfalsafah kerana aku yang berfikir itulah yang benar-benar ada
tidak dapat diragukan lagi. Disebabkan pemikiran inilah yang
kemudiannya yang mendorong berkembangnya falsafah moden. Metode
Descartes adalah bergerak dari keraguan menuju keyakinan yang begitu
jelas dan pasti dan menghasilkan keyakinan yang sempurna seperti yang
dicari-cari oleh tokoh moden ini, inilah titik awal kemenangan akal
atas iman pada zaman moden.
Descartes
adalah orang pertama di akhir abad pertengahan yang telah menyusun
perbahasan yang kuat dan jelas (distinct) yang menyimpulkan bahawa
asas falsafah haruslah akal fikiran dan bukannya perasaan, keimanan,
ayat-ayat suci dan bukan sumber-sumber lainnya. Corak falsafah
Descartes adalah sangat berbeza dan bertentangan dengan corak
falsafah pada zaman Pertengahan yang di dominasi oleh ajaran-ajaran
gereja Kristian. Beliau telah menggunakan kembali aliran rasionalisme
seperti yang telah berkembang di Zaman Yunani kuno dahulu.
ASAS
METODE COGITO DESCARTES
Metode
Cogito Descartes pada dasarnya memerlukan kepada empat langkah yang
berurutan, iaitu:
- Descartes mesti membersihkan mindanya dari kepercayaan-kepercayaan yang salah dengan meragukan semua perkara.
- Tahap kedua Descartes akan mula membina semula suatu titik permulaan yang keseluruhannya boleh dipercayai (tidak diragukan) ataupun apa yang dinamakan sebagai paksi sebagai suatu kaedah Geometri.
- Daripada titik-titik permulaan yang baru ini, Descartes akan mengeluarkan implikasi-implikasinya dengan menggunakan kaedah logik deduktif ,sama seperti dalam kaedah Matematik.
- Akhir sekali, Descartes akan mengaplikasikan kesimpulan-kesimpulan yang diperolehi kepada bidang-bidang pengetahuan yang lain dan dalam gambaran yang lebih besar, untuk mencipta falsafah yang baru dan selamat iaitu “Universal Knowledge.
Daripada
penjelasan yang huraian yang telah dikemukakan, jelas sekali bahawa
Descartes telah memulakan falsafahnya dari metode keraguan. Akan
tetapi metode keraguan yang digunakannya bukanlah merupakan tujuan
falsafahnya. Tujuan metode tersebut bukanlah untuk mempertahankan
keraguan, sebaliknya, metode tersebut bergerak dari keraguan menuju
kepastian. Keraguan Descartes hanya ditujukan untuk menjelaskan
perbezaan antara perkara atau benda yang dapat diragukan dari perkara
atau benda yang tidak dapat diragukan. Beliau sendiri tidak pernah
meragukan bahawa beliau mampu mendapatkan keyakinan yang berada di
sebalik keraguan dan menggunakannya untuk membuktikan suatu kepastian
di sebalik sesuatu. Keyakinan beliau itu begitu jelas dan pasti
(clear and distinct), dan menghasilkan keyakinan yang sempurna.
Spinoza merujuk kepada idea ini dan menamakannya sebagai “adequate
ideas”,manakala
Leibniz merujuk kepada idea ini dan menamakannya “truths
of reason”.
KESIMPULAN
Rasionalisme
adalah suatu aliran dalam Falsafah Moden Barat yang lahir akibat
keinginan ahli falsafah dan para pemikir untuk membebaskan diri dari
kongkongan pemikiran tradisional falsafah ketika itu yang meletakkan
iman sebagai asas kepada ilmu pengetahuan. Rasionalisme muncul
ketika zaman Renaissance (kelahiran semula) yang membawa
gelombang-gelombang perubahan dalam aspek kebudayaan dan pemikiran di
Eropah yang bermula di Itali pada abad ke 14 dan kemudiannya merebak
ke Perancis, Sepanyol, Jerman, Belanda, England dan ke negara-negara
Eropah lainnya.
Rasionalisme
muncul di zaman perkembangan peradaban yang berlaku di hujung atau
selepas Zaman Pertengahan sehingga munculnya Zaman Moden. Meskipun
idea tentang penggunaan akal untuk mencapai ilmu pengetahuan telah
muncul sejak lama dahulu iaitu sejak dari zaman Yunani kuno yang
dipelopori oleh Thales dan kemudiannya dilanjutkan oleh golongan
sofis dan ahli falsafah Yunani klasik seperti Socrates, Plato dan
Aristotle dan tokoh-tokoh falsafah sesudah mereka, tetapi idea ini
tidak sampai kepada masyarakat Eropah sehinggalah ianya dicetuskan
semula oleh Descartes di akhir atau selepas Zaman Pertengahan dan
pada permulaan Zaman Moden. Sebab itulah para ahli falsafah di Barat
begitu disanjung jasa Descartes dan menganggap beliau sebagai “Bapa
Falsafah Moden”. Jasa Descartes ini memang sangat besar kepada
masyarakat Barat kerana idea beliau itu telah menimbulkan banyak
perubahan dalam masyarakat ketika itu yang banyak dibayangi oleh
kuasa dan dogma karut gereja Kristian Katolik.
Idea
Descartes yang mengagungkan akal lebih daripada yang lain adalah
suatu titik permulaan kemenangan akal fikiran ke atas iman (faith) di
zaman moden. Selepas idea beliau muncul, muncul pula tokoh-tokoh
pemikir dan ahli falsafah lain yang menyokong, memperkukuh,
memperelok dan memperkemaskan lagi ideanya yang berasaskan penggunaan
akal fikiran yang sepenuhnya sebagai sumber pengetahuan. Akibatnya,
satu demi satu dogma-dogma gereja Kristian ditolak oleh masyarakat
Barat. Pengaruh gereja Kristian secara beransur-ansur telah hilang
penguasaannya terhadap masyarakat sepertimana yang kita boleh lihat
fenomena itu pada masa ini di Eropah dan Amerika Syarikat.
Perbincangan tentang Descartes adalah suatu perbincangan yang menarik
untuk diketengahkan sebagai salah satu perbincangan dalam perkara
berkaitan subjek pengantar falsafah. Dengan memahami siapa Descartes
dan juga metode cogito yang terkenal itu, kita dapat mengetahui
bagaimanakah permulaannya bagi falsafah moden Barat pada hari ini.
sakit mata saya nak membacanya ya Allah. warna warni sangat T_T
BalasPadambagi kredit kpd penulis asal. saya dh pernah baca penulisan ni
BalasPadam